Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Hilang melebihi empat tahun boleh diisytihar mati
email to someone printer friendly


Soalan:
Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka. Dia bukanlah lelaki yang berada atau berjawatan tinggi tetapi saya tidak kisah kerana dia sayangkan saya. Selepas beberapa tahun berkahwin, saya mendapat tahu tabiat buruknya.

Rupa-rupanya, selama ini dia suka menghisap ganja. Saya ada menasihatinya agar berhenti menghisap dadah tetapi dia tidak memperdulikan kata-kata saya. Dia tetap melayan saya dengan baik, oleh itu saya diamkan diri dan bersabar sahaja.

Suatu hari pada tahun 2000, dia tidak pulang ke rumah dari tempat kerjanya. Mula-mula saya ingatkan dia keluar bermalam bersama rakan-rakannya, tetapi dia langsung tidak balik selama seminggu. Apabila saya menghubungi teman-temannya, tidak seorang pun tahu ke mana dia pergi. Polis juga tidak dapat mengesannya. Pendek kata, dia hilang begitu sahaja.

Walaupun saya sudah lama tidak mendengar khabarnya, saya tetap menunggu dia dengan setia. Tetapi, sejak tahun lalu, saya mula putus asa. Ada kemungkinan yang dia sudah meninggal dunia. Kebetulan pula, saya telah berkenalan dengan seorang lelaki yang ingin mengahwini saya.

Bolehkah saya berkahwin lain? Adakah saya perlu bercerai dengan suami saya? Bagaimana boleh saya bercerai sedangkan suami saya tidak dapat ditemui?

Syarifah Nur Atiqah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Menurut seksyen 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seorang perempuan yang sudah berkahwin tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain selagi mana perkahwinan itu masih berterusan.

Maka, puan hanya boleh berkahwin lain sekiranya puan sudah bercerai dengan suami atau suami puan telah meninggal dunia.


Dalam situasi ini, puan bolehlah membuat permohonan untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan.


Menurut seksyen 52(1) Akta yang sama, terdapat 12 sebab puan boleh membuat permohonan fasakh.


Antara sebab yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan, puan boleh menggunakan alasan menurut seksyen 52(1)(a) akta yang sama, iaitu suami puan telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita selama lebih daripada satu tahun.


Suami puan telah pun menghilangkan diri hampir tujuh tahun lamanya. Puan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon fasakh.


Permohonan puan boleh didengar tanpa kehadiran suami memandangkan dia langsung tidak meninggalkan jejak dan tidak dapat dikesan biarpun oleh pihak polis.


Selain itu, seksyen 53(1) akta yang sama mengatakan bahawa suami seorang wanita dianggap telah mati jika dia menghilangkan diri selama empat tahun atau lebih. Menurut seksyen ini, mahkamah boleh mengeluarkan perintah bahawa suami yang menghilangkan diri bagi tempoh empat tahun atau lebih dianggap telah meninggal dunia.


Perintah ini dikenali sebagai perintah anggapan kematian.


Jika puan ingin mendapatkan perintah ini, puan perlu membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Syariah. Dalam mendengar permohonan puan, pihak mahkamah akan membuat siasatan yang wajar untuk memastikan bahawa kedudukan suami puan sememangnya langsung tidak diketahui. Selepas mendapat kepastian, barulah mahkamah akan mengeluarkan perintah tersebut.


Apabila perintah ini dikeluarkan, suami puan akan dianggap sebagai sudah meninggal dunia di bawah hukum syarak.


Perintah anggapan kematian yang diperoleh boleh juga digunakan dalam membuat permohonan fasakh sejajar dengan seksyen 52 akta yang sama.


Menurut seksyen 53(2) pula, perintah ini dianggap sebagai sijil mati suami puan jika puan mahu berkahwin lagi dan puan akan dianggap berstatus balu bercerai mati.


Terima kasih atas kesudian puan mengemukakan soalan kepada kami. Diharap penjelasan ini bukan sahaja membantu puan, malah membantu wanita lain yang juga ragu tentang status perkahwinan mereka.


Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap