Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Suami enggan lafaz talak
email to someone printer friendly


Soalan:
Saya dan suami sering bertelingkah dan dia selalu memukul saya sehingga lebam-lebam. Saya tidak tahan lagi dan mahu bercerai dengannya, tetapi dia tidak mahu melafazkan talaq ke atas saya. Tiadakah jalan lain untuk saya bercerai selain dijatuhkan talaq?

Sri Shahrizat,
Putrajaya


Jawapan:
Ramai yang mengatakan bahawa pergaduhan antara suami isteri adalah asam garam berumahtangga. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.

Namun, ada pula halnya di mana pertelingkahan ini tidak dapat diselesaikan sehingga menjadi masalah yang berlarutan, malah membawa kepada pukul-memukul. Ini jauh sekali daripada gaya hidup berumahtangga yang digalakkan dalam ajaran Islam.


Bagi pasangan suami isteri yang tidak boleh berdamai semula, perceraian merupakan jalan penyelesaian terbaik selagi ia dilakukan dengan cara yang berhemah. Jika puan sudah berkeputusan untuk bercerai, terdapat tiga jalan yang puan boleh ambil menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.


Cerai ta’liq (seksyen 50)


Ta’liq adalah perjanjian yang ditandatangani semasa pernikahan. Ia membenarkan puan memohon perceraian sekiranya suami puan melanggar mana-mana syarat yang terdapat dalam ta’liq tersebut, misalnya, jika dia tidak membayar nafkah. Dalan situasi puan, alasan yang terpakai untuk memohon cerai adalah suami menyebabkan kemudaratan ke atas puan dengan mencederakan puan.


Dengan yang demikian, bolehlah puan membuat permohonan ke mahkamah syariah bahawa perceraian telah berlaku. Mahkamah akan membuat siasatan akan kesahihan kenyataan puan dan, sekiranya berpuashati bahawa suami puan telah melanggar syarat ta’liq, mahkamah akan mengesahkan dan merekodkan perceraian tersebut.


Cerai fasakh (seksyen 52)


Cerai fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan sebab-sebab tertentu. Menurut seksyen 52 (1), terdapat 12 sebab puan boleh membuat permohonan fasakh.


Sebab-sebab itu adalah: tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun; suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga bulan; suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih; dan suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.


Sebab-sebab lain yang membolehkan puan meminta fasakh termasuklah: suami mati pucuk masa berkahwin hingga sekarang dan ini tidak diketahui puan; suami telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta, vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit; dan jika puan dikahwinkan oleh wali mujbir puan sebelum puan baligh, puan masih belum disetubuhi suami puan dan masih belum mencapai umur 18 tahun, kini menolak perkahwinan itu.


Puan juga boleh memohon fasakh sekiranya suami puan menganiayai puan. Menganiaya di sini membawa maksud: suami lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan puan menderita; atau suami berkawan dengan perempuan jahat atau berperangai keji; atau memaksa puan hidup secara lucah; atau melupuskan harta puan atau melarang puan dari menggunakan hak puan terhadap harta itu; atau menghalang puan dari menjalankan kewajipan agama; atau jika suami puan berpoligami, dia tidak melayani puan secara adil.


Beberapa lagi sebab puan boleh memohon fasakh adalah: suami sengaja belum menyetubuhi puan selepas empat bulan berlalu; puan tidak memberi izin sebelum berkahwin atau izin itu tidak sah; pada masa berkahwin itu puan adalah seorang yang sakit otak dari jenis yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi fasakh di bawah Hukum Syara'.


Melihat kepada alasan-alasan yang disenaraikan di atas, jelaslah bahawa alasan yang terpakai dalam situasi puan adalah suami puan lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan puan menderita.


Kesimpulannya, puan boleh memohon cerai ta’liq atau fasakh memandangkan suami puan tidak mahu melafazkan talaq. Namun begitu, ada kalanya permohonan cerai atas alasan dipukul suami tidak dibenarkan oleh mahkamah jika mahkamah mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti.


Dalam keadaan ini, puan masih ada satu jalan terakhir iaitu cerai khul’ atau dikenali sebagai cerai tebus talaq (seksyen 49).


Cerai tebus talaq dilakukan dengan puan membayar sejumlah wang kepada suami puan. Jika jumlah yang perlu dibayar oleh puan dipersetujui antara puan dan suami, mahkamah syariah akan memerintahkan suami puan melafazkan talaq ke atas puan. Sebaliknya, jika persetujuan tentang jumlah wang yang perlu puan bayar tidak dapat dicapai, mahkamah syariah akan menetapkan nilainya berdasarkan hukum syara’ dan dengan mengambilkira status dan kemampuan puan sebelum suami puan diperintahkan untuk melafazkan talaq.


Talaq yang dilafazkan oleh suami puan dalam situasi ini dianggap sebagai talaq ba-in sughra yakni tidak boleh diruju’ semula.


Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap