Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Adakah kami sudah rujuk semula?
email to someone printer friendly


Soalan:
Suami menceraikan saya di luar mahkamah dengan talaq satu. Perceraian kami telah didaftarkan dan kami kini menunggu hari perbicaraan untuk pengesahan cerai. Dua minggu setelah melafazkan talaq, suami datang ke rumah dan mengadakan hubungan kelamin dengan kerelaan saya. Adakah kami dianggap sudah ruju' semula? Bagaimana cara yang betul sekiranya suami mahu meruju' semula dengan saya?

Anunziata Abdool Raheem,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Terima kasih kerana mengemukakan kemusykilan puan kepada kami.

Ruju' merupakan keadaan di mana suami yang telah melafazkan talaq ke atas isterinya kembali semula kepadanya semasa dalam tempoh ‘iddah. Tempoh ‘iddah bagi seorang wanita adalah tiga kali suci daripada haid.


Suami hanya boleh meruju' kembali bekas isterinya sekiranya isteri dicerai dengan talaq satu atau talaq dua (talaq rajie). Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 229: “Talaq (yang boleh diruju' kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia ruju' memegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya dengan cara yang baik”.


Berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin meruju'.


Pertamanya, suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya. Kedua, bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas ruju' tersebut. Kemudiannya, suami perlu membuat permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan ruju'.


Akhir sekali, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri.


Setelah proses ruju' itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.


Dari peruntukan undang-undang ini. Jelasnya terdapat dua perkara yang amat penting dalam proses ruju': lafaz niat ruju' oleh suami dan persetujuan daripada isteri.


Seorang suami tidak boleh menganggap bahawa ruju' akan terjadi secara automatik kerana itu kemahuannya. Isteri haruslah bersetuju ke atas ruju' tersebut. Sekiranya isteri tidak bersetuju maka tiada ruju' bagi pasangan tersebut.


Suami juga tidak boleh memaksa bekas isterinya ruju' semula dengannya.


Apabila pasangan yang bercerai ruju' semula, mereka harus melaporkannya ke mahkamah syariah. Ini bagi memastikan bahawa rekod mengenai perceraian dan ruju' adalah betul dan tidak timbul apa-apa syak wasangka akan status perkahwinan seseorang.


Menurut jumhur ulama' yang empat, iaitu pandangan Imam Malik, Imam Abu Hanifa, Imam Syafi'e dan juga Imam Ibn Hanbal, ruju' hanyalah berkesan jika niat ruju' dilafazkan secara terang dan jelas. Tetapi, terdapat perbezaan pendapat antara keempat-empat mazhab tentang sama ada ruju' boleh berlaku berikutan hubungan kelamin.


Menurut Mazhab Syafi'e yang diterimapakai di Malaysia, hubungan kelamin tidak dianggap sebagai memenuhi syarat untuk ruju', walaupun suami mengadakan hubungan kelamin dengan niat untuk ruju' semula dengan puan. Ini kerana, bagi Mazhab Syafi'e, niat ruju' mestilah dilafazkan atau dibuat secara bertulis.


Apa yang puan dan suami patut lakukan sekarang adalah pergi ke mahkamah syariah yang mendengar kes perceraian puan untuk memastikan sama ada ruju' sudah terjadi, dan jika adanya ruju', maka daftarkanlah ruju' tersebut.


Diharap jawapan yang kami berikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah puan.


Panel Peguam Sisters In Islam.


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap