Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Surat kepada Pengarang: Hudud di Terengganu – Undang-Undang untuk Melindungi Perogol (9 Mei 2002)
email to someone printer friendly


Surat kepada Pengarang: Hudud di Terengganu – Undang-Undang untuk Melindungi Perogol

Rang Undang-Undang Hudud yang digubal oleh kerajaan negeri Terengganu merupakan pencabulan ketara ke atas prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.

Di bawah Rang Undang-Undang ini, perempuan yang mengadu dirinya dirogol akan dituduh melakukan qazaf (tuduhan fitnah mengenai zina) dan disebat 80 kali jika dia tidak dapat membuktikan jenayah rogol itu.

Wanita hamil yang tidak bersuami adalah dianggap melakukan zina, walaupun dia mungkin telah dirogol.

Kaum wanita tidak boleh menjadi saksi.

Adalah sungguh tidak munasabah bagi penggubal rang undang-undang ini menganggap perbuatan rogol sebagai pembelaan kepada wanita daripada pendakwaan zina dan bukannya sebagai jenayah berat yang ganas dan keji yang dilakukan terhadap wanita. Lebih zalim lagi apabila rang undang-undang ini meletakkan beban membuktikan rogol sepenuhnya ke atas bahu pihak wanita dan akan menghukumnya dengan 80 sebatan jika dia tidak mampu menunjukkan bukti jelas mengenai jenayah itu.

Perbuatan rogol adalah kesalahan serius dan keadilan menuntut supaya pihak berkuasa hendaklah membawa prosiding terhadap perogol yang dituduh itu, dan beban bukti hendaklah terletak di atas pihak berkuasa, dan bukan di atas pihak mangsa.

Kegagalan untuk membezakan di antara jenayah rogol dan zina dalam undang-undang hudud di beberapa negara Islam telah membawa kepada mangsa-mangsa rogol dituduh melakukan zina dan qazaf kerana mereka tidak dapat mengemukakan empat orang saksi lelaki untuk membuktikan yang mereka bukannya pihak yang rela melakukan zina.

Laporan polis pihak mangsa mengenai perbuatan rogol itu pula dikira sebagai pengakuan melakukan zina di negara-negara tersebut. Hakim kemudiannya memutuskan bahawa hubungan seks itu dipersetujui oleh mangsa dan mendapati mangsa rogol itu bersalah melakukan zina, walaupun lelaki yang dituduh itu pula dibebaskan kerana tidak cukup keterangan. Dalam beberapa kes, mangsa rogol itu juga didapati bersalah melakukan qazaf kerana dia tidak boleh mengemukakan empat saksi lelaki untuk membuktikan rogol dan dengan itu dikatakan telah mencemar nama baik perogol yang dituduh itu. Terdapat satu sahaja cara bagi mensabitkan  perogol di bawah undang-undang yang dikatakan undang-undang Hudud ini, iaitu melalui pengakuannya sendiri, yang bagaimanapun, boleh pula ditarik balik pada bila-bila masa kemudiannya.

Penyelewengan undang-undang Hudud ini ada didokumentasikan di beberapa negara dan kumpulan-kumpulan wanita di Malaysia telah membantah terhadap peruntukan-peruntukan sedemikian dalam Enakmen Hudud Kelantan tahun 1993. Malangnya, kerajaan negeri Terengganu bukan sahaja tidak mempedulikan langsung kekhuatiran tersebut, tetapi sebaliknya telah pula menambah satu lagi peruntukan yang menganiayai wanita iaitu untuk mengenakan 80 sebatan ke atas perempuan yang tidak dapat membuktikan laporannya mengenai kena rogol.

Undang-undang yang dicadangkan ini nampaknya begitu menyelewengkan Hukum Allah swt. Sebenarnya, hukum suci Allah swt mengadakan perbezaan yang menyebelahi kaum wanita kerana menyedari bahawa kaum wanita mudah dianiayai sebagai mangsa serangan seksual dan dipertuduhkan melakukan zina dan jelas bertujuan untuk melindungi wanita daripada tuduhan sedemikian. Sebaliknya pula, pengkanunan undang-undang yang dilakukan oleh manusia mengadakan perbezaan yang menindas dan menganiayai wanita dengan secara khusus menakutkan mangsa rogol daripada membuat laporan dan kesannya tentulah melindungi perogol daripada menerima akibat hukuman ke atas jenayah mereka.

Ia nampaknya memberi kesempatan kepada perogol untuk merogol wanita sesuka hatinya – ia mengadakan jalan keluar yang berkesan kepada perogol dan menjamin hukuman ke atas mangsa yang cukup berani untuk tampil ke hadapan atau yang malangnya menjadi hamil.

Peruntukan yang tak diterima akal yang menganiayai kaum wanita adalah hasil penyelewengan manusia; tidak terdapat peruntukan sedimikian dalam al-Qur’an dan hadith sahih. Sebaliknya, ayat al-Qur’an amat melindungi kaum wanita.

Kehendak bagi (sekurang-kurangnya) empat orang saksi sebagaimana diperuntukkan dalam makna literal Surah an-Nur 24 : 4 telah diturunkan khasnya untuk melindungi kaum wanita daripada fitnah dan tuduhan zina yang dibuat sewenang-wenangnya, bukan untuk melindungi kaum lelaki daripada tuduhan rogol:

Dan orang-orang [kata ganda lelaki] yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya [muhsanat—kata ganda perempuan], kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka [kata ganda lelaki] lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka [kata ganda lelaki] itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq

Dalam nahu bahasa Arab, kata ganda lelaki boleh juga terpakai secara am untuk merangkumi lelaki dan perempuan kedua-duanya, oleh itu perempuan yang menuduh perempuan lain melakukan zina boleh juga disabitkan kesalahan qazaf. Akan tetapi, kata ganda perempuan terpakai secara khusus bagi merangkumi perempuan sahaja.

Dalam huraiannya mengenai Ayat ini, A. Yusuf Ali menyatakan:

Perhatian yang paling berat diambil berkenaan dengan orang-orang yang mengadakan fitnah yang memberi isyarat tentang adanya wanita yang berlaku curang tanpa bukti yang mencukupi. Kalaulah ada apa-apa yang dikatakan tentang tidak sucinya seseorang wanita itu, maka ianya hendaklah dibuktikan dengan keterangan dua kali ganda kuatnya daripada bukti yang dikehendaki dalam muamalah perniagaan walaupun dalam hal-hal pembunuhan.

Dalam huraiannya, Muhammad Asad menyatakan:

Istilah muhsanat ertinya wanita yang terpelihara (daripada kekejian) iaitu melalui perkahwinan dan/ atau keimanan dan maruah diri, bolehlah dimaksudkan bahawa di sisi undang-undang, tiap-tiap wanita hendaklah dianggap suci melainkan jika bukti konklusif yang sebaliknya dikemukakan.

Apa yang tertulis dan dimaksudkan dalam Surah an-Nur adalah untuk melindungi kaum wanita daripada dianiayai dengan tuduhan fitnah mengenai melakukan zina. Sebab turunnya ayat ini (asbab al-nuzul) adalah peristiwa sejarah di mana isteri Rasulullah saw, Aishah ra yang telah menemani baginda dalam suatu kempen peperangan pada tahun 5 Hijrah telah dengan tidak disedari tertinggal di suatu kawasan perkhemahan semasa tentera Islam itu meneruskan perjalanannya pada awal pagi. Beberapa jam kemudian, beliau telah ditemui oleh seorang sahabat Rasulullah saw, yang meletakkan Aishah ra di atas untanya dan membawanya dengan berjalan kaki membawa unta itu ke tempat perkhemahan yang berikutnya. Peristiwa ini memberi peluang kepada para musuh untuk menimbulkan fitnah yang amat jahat. Berikutan peristiwa ini, perintah bagi empat orang saksi telah dikenakan melalui wahyu Illahi untuk menghendaki keterangan langsung yang paling kukuh sekali sebelum apa-apa penyataan boleh dibuat terhadap kesucian seseorang wanita.

Mengikut prinsip undang-undang Islam, adalah lebih baik bagi ramai orang yang bersalah itu terlepas daripada hukuman dunia, daripada bagi seorang sahaja orang yang tidak bersalah itu dihukum. Tetapi prinsip ini nampaknya diselewengkan dalam penggubalan manusia. Nampaknya penggubal manusia itu berfikir bahawa adalah lebih baik bagi hampir kesemua lelaki yang bersalah itu terlepas, (walaupun ada antara mereka yang bukan sahaja melakukan dosa terhadap Allah swt tetapi juga kesalahan ganas terhadap sesama insan), daripada bagi seorang sahaja lelaki yang tidak bersalah itu dihukum tetapi adalah lebih baik bagi ramai wanita yang tidak bersalah itu dihukum dan dianiayai lagi daripada bagi seorang sahaja wanita yang bersalah itu terlepas (walaupun dia hanya melakukan dosa terhada Allah swt).

Peruntukan dalam cadangan rang undang-undang Hudud yang menjadikan kaum wanita tidak layak diterima sebagai saksi dalam semua kes Hudud dan Qisas juga tidak terdapat dalam amalan Rasulullah saw. Terdapat kes di mana Rasulullah saw menerima keterangan seseorang perempuan, misalnya dalam kes seorang gadis yang telah dirompak dan dipukul teruk ( dalam riwayat Muslim, Jamaul Fawaid Hadith No. 5231, 5233 dan 5234), dan dalam kes seorang wanita yang dirogol oleh orang yang tidak dikenali semasa perjalanannya ke masjid pada waktu subuh (riwayat Abu Daud dan Tirmidhi). Terdapat juga kisah mengenai isteri Sayidinna Othman, yang merupakan satu-satunya saksi yang melihat pembunuhan suaminya. Tuntutan bagi qisas yang dibuat oleh sebilangan para sahabat adalah berdasarkan kepada keterangan isteri Sayidinna Othman itu, dan tiada seorang pun yang membantah dengan alasan bahawa tuntutan qisas tidak dapat dibuat dengan ketiadaan saksi lelaki.

Kami menggesa kerajaan negeri Terengganu supaya menghapuskan sikap prasangka terhadap kaum wanita serta juga mempertimbangkan kesahan di sisi perlembagaan mengenai perundangan atas perkara-perkara jenayah yang di bawah bidang kuasa perundangan persekutuan. Apa yang diperlukan ialah perdebatan awam yang seluas-luasnya tentang sama ada tujuan keadilan jenayah dalam Islam mampu dicapai sekiranya dilaksanakan secara runcitan dalam dunia yang serba tidak sempurna ini. Kesannya boleh membawa kepada penindasan dan kezaliman, terutamanya terhadap kaum wanita, sebagaimana ditunjukkan telah berlaku di beberapa negara Islam. Oleh yang demikian ia telah mencemar imej Islam dan Syariah.

  1. Sisters in Islam
  2. National Council of Women’s Organisations (NCWO)
  3. All Women’s Action Society (AWAM)
  4. Association of Women Lawyers (AWL)
  5. Majlis Pertubuhan Ibu-Ibu Tunggal Malaysia
  6. Malaysian Association of Social Workers
  7. Wanita Ikram, Persatuan Komuniti Ikram, Kuala Lumpur
  8. Women’s Aid Organisation (WAO)
9 Mei 2002

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap