Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state


Ombak Hairan dalam?
April 21, 2012

21 APRIL — Filem “Ombak Rindu” telah lama ditayangkan (lebih kurang 5 bulan yang lepas), namun kerana kesibukan kehidupan seharian bekerja dan berkeluarga, saya tidak dapat menonton ketika filem tersebut masih panas di pawagam. Hanya beberapa bulan kemudian baru dapat saya menonton filem tersebut di dalam keselesaan rumah saya sendiri. Baik juga ada Astro First, ye? Sebelum itu, memang dalam pengetahuan am saya yang filem ini ‘meletops’ di pawagam dengan kutipan lebih 10 juta ringgit. Ketika itu, saya hanya tahu sinopsis cerita secara ringkas sahaja – kisah Izzah yang dilakonkan oleh Maya Karin, seorang gadis dari kampung yang ke bandar, kemudian dia terlibat dalam cinta tiga-segi dan perkahwinan poligami bersama Hariz (watak yang dimainkan oleh Aaron Aziz) dan Mila (lakonan Lisa Surihani). Sepanjang menonton filem tersebut, saya tersentak bertanya diri-sendiri apakah reaksi dan wacana di media tentang perkosaan yang dilakukan oleh Hariz kepada Izzah ketika filem ini ditayangkan di pawagam? Dalam perbualan saya dengan saudara-mara dan sahabat-handai yang telah menonton “Ombak Rindu” sebelum saya, detik perkosaan yang dilakukan Hariz tidak timbul langsung, seolah-olah, apa yang berlaku sememangnya diterima tanpa soal dan tanpa kritis. Yang anehnya ialah reaksi skizoprenia Izzah sendiri terhadap perkosaan yang berlaku pada dirinya. Kenapa Izzah tidak lari dan membebaskan diri dari rumah yang didiami dengan Haris walhal peluang tersebut sememangnya ada dengan perginya Haris bekerja dan menziarahi ibunya. Adakah beliau terlalu lemah dan takut untuk membebaskan diri sendiri kerana ugutan Hariz yang akan mencarinya sehingga dapat? Namun di sebalik kelemahan dan ketakutan tersebut beliau masih mempunyai kecekalan untuk berunding dengan Hariz supaya bernikah dengan beliau agar hubungan kelamin di antara mereka adalah halal dari segi Shari’ah. Kenapa dia tidak sahaja membebaskan diri daripada terus ditiduri oleh Hariz secara paksa, samada halal atau tidak?

Mungkin jawapannya terletak pada Hariz kerana, yang lebih menghairankan saya ialah perkosaan tersebut tidak sedikit pun mencalar keperibadian Hariz pada kaca mata Izzah dan juga kita semua sebagai penonton malah dia masih dianggap sebagai seorang yang budiman terutama sekali setelah bernikah dengan Izzah secara senyap dan rahsia tanpa pengetahuan keluarga dan saudara-mara sekampung. Dari perbualan saya dan bacaan wacana media saya tahu yang ramai yang menangis menonton “Ombak Rindu”. Setitik air mata pun tidak tergenang bagi saya. Apa yang saya rasa hanyalah kekecewaan. Kecewa kerana tiadanya bantahan terhadap perkosaan yang berlaku terhadap Izzah oleh dirinya sendiri, oleh ibubapa Hariz dan juga kita semua yang menonton filem “Ombak Rindu”. Pernikahan Hariz dengan Izzah bagaikan selimut yang menutup keganasan yang telah berlaku terhadap dirinya. Kecewa kerana walaupun Hariz telah melakukan suatu jenayah yang keji terhadap seorang wanita, beliau masih diterima sebagai anak kesayangan, ketua keluarga, pemimpin syarikat dan harapan bangsa. Dalam pada itu, beliau masih boleh menuntut kesetiaan Izzah pada dirinya walaupun beliau sendiri tidak berlaku sama. Mungkin ramai akan menyatakan kepada saya, rileks lah Sister… Inikan hanya sebuah filem, kenapa saya perlu terikat dan terbawa-bawa dengan kisah Hariz dan Izzah ni, betul tak? Tak habis-habis dengan kisah perkosaan tadi. Don’t be so emo, you know? OK, saya boleh terima kenyataan tersebut. Saya boleh terima bahawa “Ombak Rindu” adalah suatu fantasi yang melangkaui batas realiti kehidupan seharian kita. Kalau begitu, saya ingin pergi jauh sedikit dari apa yang telah dipaparkan di atas layar perak di pawagam. Apa kata kalau ‘Hariz’ tidak sekacak Aaron Aziz? Apa kata kalau ‘Izzah’ dikurung di dalam pondok kayu yang usang dan bukan rumah yang tersergam indah diiringi pemandangan yang menyejukkan kalbu? Apa kata ‘Hariz’ bukan seorang Melayu? Apa kata ‘Hariz’ bukan seorang Muslim? Adakah kita masih akan memalingkan muka kita daripada perkosaan yang berlaku? Adakah kita masih merestui perhubungan kelamin dan pernikahan di antara ‘Hariz’ dan ‘Izzah’? Adakah kita masih akan melinangkan air mata di hujung filem ini kerana ‘Hariz’ dan ‘Izzah’ akhirnya dapat hidup bahagia dan bersama-sama? Dan sekiranya reaksi dan perasaan kita atas lakon layar di atas berbeza dari apa yang dipaparkan oleh filem “Ombak Rindu”, kenapa ianya berbeza? Menyimpang sedikit dari filem “Ombak Rindu”, kita teliti pula reaksi sesetengah pihak media dan orang ramai terhadap lirik lagu ‘Bawaku Pergi’ tulisan Malique, nyanyian Zizan kerana ura-uranya ia dianggap sebagai menggalakkan remaja perempuan lari dari keluarga mereka untuk bersama-sama dengan teman lelaki mereka. Ramai yang menginterpretasi bahawa teman lelaki yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah mereka yang datang dari seberang, bukan orang kita. Saya rasa reaksi masyarakat terhadap lagu ini begitu kerana mungkin ramai yang risau anak-anak perempuan mereka akan terpengaruh dengan lagu ini dan dibawa lari dan diperkosa. Selepas madu dihisap, sepah dibuang. Tapi kalau mereka bernikah selepas itu, bagaimana? Hebat sungguh ancaman pengaruh lagu ini sehingga ianya digam daripada berkumandang di corong radio oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Sebaliknya pula, filem “Ombak Rindu” diabadikan oleh Pos Malaysia sebagai setem edisi terhad. Dengan pengabadian ini, hakikatnya ialah, kita semua telah bersubahat secara besar-besaran dalam menerima perkosaan terhadap wanita dan anak-anak sebagai suatu norma di dalam budaya dan masyarakat kita sendiri.

Perkosaan tetap perkosaan tidak kira bangsa, agama dan negara. Sekiranya kita terus redha atau pasrah tanpa melakukan sesuatu untuk menghentikannya, perkosaan dan keganasan terhadap wanita dan anak-anak akan terus berlaku.


ROZANA ISA: Ahli Sisters in Islam. Penyelaras Sekretariat Musawah, Gerakan Global bagi Keadilan dan Kesaksamaan di dalam Keluarga Muslim (Musawah, Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family).

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap