Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state



Assalamualaikum WBT

Mengadap Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Majlis Raja Raja Melayu.

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon diAmpun

Patik sekelian yang bertanda tangan dibawah merafak sembah memohon limpah perkenan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Majlis Raja Raja Melayu untuk memberi pertimbangan keatas kemelut penuduhan yang dibuat ke atas diri patik- patik oleh organisasi-organisasi tertentu.

Patik sekelian sebagai individu yang beriltizam kuat atas landasan ajaran agama Islam sebagai ad-din amat berdukacita dan sedih degan cara, nada, isi kandungan penuduhan yang dibuat terhadap patik sekelian kerana tuduhan-tuduhan yang dibuat tidak berasas dan amat bercanggah dengan prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan kebebasan bersuara yang mendokong ajaran agama Islam kita sendiri.

Tiada seorangpun diantara patik sekelian yang dituduh telah diberi peluang atau dijemput untuk bermesyuarah atau untuk memberi penjelasan atas tuduhan tuduhan yang dibuat keatas patik-patik.

Sebaliknya patik sekelian hanya mendapat tahu bahawa suatu tuduhan yang berat ke atas patik-patik telah dibuat dengan mengemukakan satu memorandum ke Majlis Raja Raja.

Di manakah letaknya prinsip-prinsip keadilan yang kita akui sebagai nilai-nilai Islam?

Malahan, ada di antara patik sekelian yang telah menerima ancaman maut, ancaman rogol, diganggu dan diugut melalui telefon, dan surat khabar yang dihantar ke rumah patik telah diusik dan ditabur dengan debu putih (sebagai ancaman anthrax). Tindakan-tindakan ini adalah akibat kempen benci terhadap patik sekelian. Kesediaan organisasi-organisasi tersebut memperalatkan undang-undang kononnya kerana mempertahankan Islam adalah bukti nyata tentang kekeliruan keadaan dunia Islam hari ini, dan khususnya di Malaysia. Lagipun organisasi- organisasi ini yang berlagak sebagai jaguh Islam tidak pernah dipilih oleh kaum Islam atau masyarakat am sebagai juru bicara mereka.

Tindakan mereka  telah merosakkan imej Islam dan membawa tanggapan salah bahawa Islam adalah agama bersifat tidak bertolak ansur yang tidak mampu menangani perbezaan pendapat. Apatahlagi, ia berlaku pada masa Malaysia serta keseluruhan dunia Islam sedang diberi imej negatif sebagai tempat dimana bertapaknya sikap tidak bertoleransi keagamaan. Tindakan kumpulan-kumpulan ini telah menguatkan lagi prasangka terhadap Malaysia dan umat Islam umumnya.

Aduan patik sekelian kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia dan Majlis Raja Raja, adalah berkaitan dengan hakikat bahawa seluruh kempen yang dibangkitkan untuk menentang patik sekelian ini tidak mengikut peraturan, serta  bercanggah dengan prinsip-prinsip asas keadilan Islam:

Tidak langsung terlintas di fikiran mereka yang membuat aduan terhadap patik sekelian untuk menerima kebenaran bahawa patik sekelian telah banyak menyumbang kepada usaha meningkat dan memperbaiki imej Islam dan umatnya di Malaysia dan di seberang laut. Latarbelakang kerjaya dan kegiatan-kegiatan lampau patik sekelian sebagai penulis dan aktivis yang telah mempertahankan imej Islam dan kepentingan umat Islam di seluruh dunia telah sengaja diketepikan terus.

Dalam kesemua kes terlibat, ungkapan-ungkapan dan kata-kata – dari makalah dan ucapan – patik sekelian telah dipetik luar dari konteks dan diputarbelitkan. Semua petikan yang mereka gunakan itu tidak dipetik dengan lengkap. Mereka langsung tidak merujuk kepada makalah atau ucapan berkaitan. Apabila petikan diambil luar dari konteksnya sebegini, adalah mudah untuk memberi makna dan tujuan lain kepada petikan tersebut dari apa yang patik sekelian niatkan dan usaha yang sama boleh dilakukan ke atas penulisan dan ucapan mana-mana individu jua.

Dalam kesemua kes, petikan diambil dari laporan akhbar, wawancara dan desas-desus – kesemuanya ini tidak dapat diterima sebagai keterangan dalam mana-mana aduan sah yang berlandaskan undang-undang. Kita boleh persoalkan, bagaimana seseorang itu boleh disoal atau dihukum atas landasan kata-katanya dalam sebuah wawancara atau laporan yang dengan mudah boleh disalah petik, disalah tafsir atau dipetik luar dari konteksnya.

Dalam hampir semua petikan yang dipetik luar dari konteks, maksud dan niat yang lain telah diberikan kepada ayat-ayat dipetik itu tadi. Penuduh telah memberi tafsiran yang lain kepada kata-kata patik sekelian, satu perbuatan yang boleh dilakukan dengan mudah terhadap ayat yang khas dipilih dan dipetik luar dari konteks di mana ianya terdapat. Tafsiran-tafsiran tambahan inilah yang menjadi asas bagi tuduhan mereka bahawa patik sekelian telah ‘menghina Islam’.

Patik sekelian juga membantah tuduhan mentafsir Islam secara ‘bebas’ dan luar dari bimbingan. Patik sekelian ingin menyatakan dengan tegas, bahawa kesemua kenyataan dan penulisan yang patik sekelian telah buat tidak ada yang telah dibuat dengan sewenang-wenangnya. Nasihat dari ahli fiqh, para sarjana Islam dan pakar-pakar dari berbagai bidang menjadi garispanduan utama kepada penulisan dan ucapan patik sekelian.

Patik sekelian memohon menarik perhatian Duli-Duli Yang Maha Mulia kepada hakikat bahawa tidak ada di antara patik sekelian yang boleh dianggap mentah dalam bidang pengkhususan masing-masing. Patik-patik yang dituduh adalah ahli akademik, penyelidik, aktivis, peguam dan penulis yang telah menjalankan kajiselidik dan analisis serius, dan patik-patik sekelian telah juga banyak menghabiskan masa dan tenaga kepada pengajian dan penyelidikan.

Bertentangan dengan dakwaan bahawa patik sekelian bergiat ‘di luar’ dari garisan pendidikan dan hukum Islam, patik sekelian, dalam arus kerjaya masing-masing, telah sentiasa berjuang untuk perubahan dan pembangunan masyarakat di dalam ruang lingkup sumber-sumber agama Islam sendiri, budaya Melayu, serta politik dan undang-undang negara ini. Patik sekelian, dalam penulisan dan ucapan, tidak pernah menyentuh asas-asas termulia Rukun Islam dan Rukun Iman. Tidak pernah juga patik sekelian dengan sengaja menghina nama baik Islam dan nilai-nilai
murninya.

Penulisan dan kegiatan patik sekelian adalah sebahagian dari daya usaha mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran masakini. Patik-patik telah memilih untuk berbuat demikian dalam rangkakerja Islam kerana patik sekelian percaya bahawa Islam berupaya menyediakan penyelesaian kepada masalah dan kelemahan masyarakat kita untuk kebaikan umat Islam sendiri. Patik sekelian telah berusaha membina jambatan persefahaman supaya Islam dapat lebih difahami oleh orang Islam dan yang bukan Islam.

Patik sekelian sentiasa juga mengecam prasangka negatif yang ditunjukkan dan ditujukan dengan lantang kepada Islam dan umatnya tanpa teragak-agak. Sebagai pakar dalam berbagai bidang dan disiplin, termasuklah sains politik, agama, sejarah, sosiologi, undang-undang, hal-ehwal wanita, kewartawanan dan lain-lain, patik sekelian berasa bahawa adalah menjadi hak dan tanggungjawab patik-patik untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kefahaman Islam dengan cara masing-masing yang tersendiri.

Inilah sebab mengapa patik sekelian memandang serius tuduhan-tuduhan tersebut yang tidak wajar dan tidak beralasan yang ditujukan terhadap patik sekelian oleh mereka yang mahu membisukan suara dan menafikan kepada patik sekelian hak penyertaan dalam kehidupan sosial dan budaya Islam.

Dalam keadaan di mana agama Islam semakin  berpengaruh membentuk semula corak kehidupan dan  masyarakat di Malaysia, undang-undang serta polisi  awamnya, usaha sebegini untuk menyisihkan mereka yang  berpandangan berbeza dan kritikal dalam perbahasan isu- isu mengenai Islam di Malaysia pada hari ini, merupakan  pencabulan hak-hak asasi warganegara demokratik.

Ia juga  merupakan pencabulan terhadap prinsip yang dihargai  dalam tradisi Islam mengenai perbezaan pendapat (ikhtilaf) di kalangan pelbagai mazhab. Mengkritik pandangan  beberapa ulama’ tertentu bukannya bermakna tidak  menghormati para ulama’.

Patik sekelian menganggap percubaan menggunakan undang-undang untuk menjadikan perbezaan pendapat dalam Islam  suatu jenayah, sebagai usaha merbahaya bagi memonopoli  maksud dan kandungan ajaran Islam. Ini boleh membawa  akibat buruk ke atas segenap sudut kehidupan awam di  Malaysia. Dalam situasi di mana Islam telah menjadi begitu  berpengaruh, tidaklah munasabah mencadangkan bahawa hanya segolongan tertentu yang  mempunyai satu pandangan sahaja yang berhak untuk  bersuara mengenai Islam. Supaya Islam menjadi relevan dan lebih difahami oleh  rakyat Malaysia, maka semua pihak mestilah berhak mengambil  bahagian dalam mentakrifkan apakah maksud ajaran Islam kepada kita semua sebagai warganegara dalam  masyarakat berbilang kaum dan agama.

Semua warganegara, samada beragama Islam ataupun beragama lain, mempunyai hak untuk melibatkan diri dalam  perbahasan mengenai isu-isu berkepentingan nasional yang  menyentuh kehidupan kita, samada mengenai agama,  ekonomi, politik, pendidikan, kebudayaan atau isu-isu sosial. Dalam rangka masyarakat demokratik, patik memohon diadakan dialog yang  terbuka, bertanggungjawab, rasional dan saling menghormati mengenai Islam dan kesannya ke atas  kehidupan rakyat jelata, samada kehidupan peribadi mahupun  kehidupan awam.

Kebebasan bersuara adalah nilai sejagat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan ditegaskan dalam ajaran  Islam. Hak asasi ini, yang meliputi semua warganegara  dalam segala perkara yang bersifat keagamaan dan juga yang bersifat duniawi, mestilah dilindungi dan  diperkukuhkan, oleh pihak berkuasa dan  pihak-pihak yang berpengaruh dalam masyarakat,  dan juga oleh semua pihak dalam masyarakat sivil.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum WBT Ampun Tuanku. Sembah Takzim daripada patik-patik yang menandatangani di bawah ini.

Zainah Anwar,
Dr Farish Noor,
Dr Patricia Martinez, Felo Penyelidik Kanan, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya
Dr Kassim Ahmad, Presiden Forum Iqra', Pulau Pinang
                                            
Lampiran-lampiran:
  1. Jawapan kepada PUM oleh Dr Farish Noor
  2. Jawapan kepada PUM oleh Dr Patricia Martinez
  3. Jawapan kepada PUM oleh Dr Chandra Muzaffar
  4. Ulama, Hegemony and Reform oleh Dr Chandra Muzaffar
  5. The Place of Tolerance in Islam oleh Professor Khaled Abou El Fadl
  6. Abdolkarim Soroush: New Revival of Religious Sciences

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap