Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Letter to the Editor: RANG UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM: ULASAN DAN SYOR
email to someone printer friendly

Dengan segala hormatnya kami merujuk kepada Rang Undang-Undang Keluarga Islam sebagaimana digubal pada 24 Januari 1998, yang salinannya kami terima daripada pegawai khas kepada Y.B. Datuk Seri melalui surat bil. M/JPM/DDRY/PK/01-(147) bertarikh 19 November 2001. Terlebih dahulu, kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian Y.B. Datuk Seri memperolehi pandangan mengenainya daripada pihak kami.



2. Kami telah menyediakan ulasan dan syor kami mengenai Rang Undang-Undang (RUU) tersebut. Bersama-sama ini dilampirkan salinan Memorandum Perbandingan Draf Rang-Undang-Undang Keluarga Islam (digubal pada 24.1.1998) Dengan Akta Undang-Undang Keluarga Islam: Ulasan dan Syor.


3. Di sini kami ingin menarik perhatian Y.B. Datuk Seri kepada beberapa perkara utama mengenai RUU tersebut. Kami amat kecewa dan berdukacita kerana syor-syor pembaharuan yang telah kami sampaikan dalam beberapa memorandum kami yang terdahulu, misalnya dalam Memorandum Reformasi Undang-Undang Keluarga Islam dan Pentadbiran Keadilan dalam Sistem Syariah di Malaysia pada tahun 1997, Memorandum mengenai Pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam mengenai Poligami pada tahun 1996 dan Memorandum Pembaharuan Proses Perceraian dan Tuntututan Sampingan dalam Prosiding Mahkamah Syariah pada tahun 2000 tidak langsung dimasukkan atau diambilkira dalam penggubalan draf RUU tersebut.




4. Bagi pihak kami, pembaharuan yang disyorkan mengenai undang-undang keluarga Islam dan prosedur pentadbiran sistem syariah adalah dibuat dengan teliti berlandaskan Hukum Syarak, dengan mengambil kira keadilan dan maslahah dalam keluarga dan masyarakat.




5. Sebaliknya pula, beberapa pindaan lain yang kesannya boleh memudaratkan lagi kedudukan kaum wanita Islam telah dimasukkan dalam draf RUU itu. Di antara pindaan-pindaan dalam draf RUU yang kesannya memburukkan lagi kedudukan kaum wanita, termasuklah peruntukan-peruntukan berikut:




a. Syarat perkahwinan poligami.




Kami amat kecewa dan dukacita dengan pindaan kepada subseksyen 5(a) seksyen 23. Dalam peruntukan sedia ada Akta 1984, perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah “patut dan perlu”. Dalam draf RUU pula, ini telah dipinda kepada “patut atau perlu”. Pindaan ini nampaknya sengaja hendak menolak dan mengetepikan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah v. Wan Mohd Yusof (1990) 7 JH 152. Jawatankuasa Rayuan Syariah menekankan bahawa kesemua syarat di bawah subseksyen ini sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan. Pihak suami telah memberi alasan untuk berpoligami bagi maksud menghalalkan pertalian kasih sayangnya dengan perempuan yang berkenaan. Jawatankuasa Rayuan Syariah berpendapat bahawa walaupun alasan ini mungkin mencukupi untuk memenuhi syarat “keperluan” untuk berpoligami, tetapi ianya tidak ada kena-mengena dengan soal “kepatutan”. Jawatankuasa itu menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, dia patut boleh mengawal nafsunya dan mengelakkan diri dari melakukan zina dan perkara maksiat.



b. Pembahagian harta sepencarian sebelum perkahwinan poligami.




Cadangan kami ialah untuk memastikan supaya kepentingan dan kebajikan isteri sedia ada adalah terjamin dengan adilnya, sekurang-kurangnya dari segi kewangan, berlandaskan kepada prinsip hukum Islam bahawa perkahwinan poligami yang membawa mudarat dan ketakadilan kepada pihak isteri sebenarnya tidak dibenarkan oleh ayat suci al-Qur’an yang begitu menekankan dan memelihara keadilan bagi wanita dan kanak-kanak (Surah an-Nisa’ 4 : 3 dan 4 : 129).



Malangnya peruntukan baru subseksyen (10) sebagaimana digubal dalam draf RUU boleh
disalahgunakan oleh pihak suami
yang tidak bertanggungjawab. Penyalahgunaan ini boleh berlaku kerana draf subseksyen (10) menyatakan “mana-mana pihak kepada pekahwinan itu” boleh membuat permohonan supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan mereka dibahagi antara mereka. Ini membawa implikasi bahawa suami juga boleh meminta supaya asset yang sudahpun didaftarkan dalam nama isteri sedia ada dalam masa perkahwinan mereka juga dibahagikan sebahagiannya kepadanya (suami) atau supaya rumah perkahwinan mereka dijual apabila suami itu berkahwin lain. Ini akan membawa keadaan yang amat tidak adil sekali kepada isteri sedia ada dan anak-anak. Suami yang tidak bertanggungjawab mungkin akan menuntut harta isteri sedia ada atau mendakwa bahawa harta yang telah dahulunya diberi kepada isteri sedia ada masih merupakan bahagian harta suami atau mahukan rumah perkahwinan mereka dijual untuk mendapat wang bagi menyara isteri barunya.





c. Perceraian fasakh




Kami amat kecewa dan dukacita dengan pindaan mengenai perceraian fasakh dalam seksyen 53 RUU.. Pindaan-pindaan itu telah menambahkan hak pihak suami tanpa menambahkan hak atau perlindungan kepada hak isteri. Pindaan itu telah melanjutkan hak untuk menuntut fasakh pada amnya kepada pihak suami. Dalam Akta 1984 sebelum pindaan tahun 1994, hanya pihak isteri boleh menuntut fasakh. Dalam pindaan yang dimasukkan pada tahun 1994 pula, pihak suami dibenarkan menuntut fasakh atas satu alasan sahaja iaitu isteri menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan. Dalam draf RUU pula, alasan bagi suami untuk menuntut fasakh telah ditambah dengan lapan lagi alasan (dalam subseksyen (1)(a), (c), (d), (f), (h)(i), (h)(iv) dan (h)(v), di samping subseksyen (2)). Sebaliknya pula, alasan fasakh yang telah diberi kepada pihak suami dalam subseksyen (2)  tidak dilanjutkan kepada pihak isteri.




Pindaan bagi pihak suami menuntut fasakh mungkin adil sekiranya suami tidak lagi dibenarkan mentalaq isterinya. Tetapi ia amat tidak adil apabila suami masih boleh mentalaq isterinya. Terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama’ mazhab Sunni tentang sama ada hak fasakh juga diberi kepada pihak suami. Misalnya, mazhab Hanafi hanya memberi hak fasakh kepada pihak isteri, dan mazhab yang lain memberi fasakh kepada kedua-dua pihak apabila alasannya ialah penyakit berjangkit atau penyakit yang menghalang persetubuhan. Dalam draf RUU ini, alasan bagi suami menuntut fasakh telah diperluaskan lebih daripada itu. Apakah kesan perbezaan di antara perceraian talaq dan perceraian fasakh oleh pihak suami? Mungkin faedah bagi pihak suami menuntut fasakh ialah supaya dia tidak perlu membayar nafkah iddah dan mut’ah kepada bekas isterinya.

Kami mendapati sungguh aneh bahawa apabila terdapat percanggahan pendapat ulama’, mengenai sesuatu kaedah, terdapat kecenderungan menerima pendapat yang lebih memberi faedah kepada pihak suami serta juga memperluaskan lagi faedah itu. Sebaliknya, apabila terdapat percanggahan pendapat ulama’ mengenai kaedah lain yang boleh memberi faedah kepada pihak isteri (misalnya yang memperluaskan hak ta’liq atau perceraian tafwid bagi pihak isteri), pendapat yang memberi faedah kepada pihak isteri itu diketepikan dan tidak diterima.




d. Kuasa Mahkamah membatalkan dan menahan perpindahan harta
.




Peruntukan sedia ada dalam Akta 1984 membolehkan Mahkamah membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak suami yang bertujuan untuk mengurangkan kemampuannya membayar nafkah atau mut’ah atau untuk menghalang isterinya daripada harta itu. Peruntukan sedia ada itu dipinda dalam seksyen 106 draf RUU untuk membolehkan juga Mahkamah membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak isteri. Adakah ini dibuat atas alasan kesamarataan gender? Mengikut undang-undang Islam tradisional, suami tidak berhak menuntut nafkah daripada isterinya, dan tidak mempunyai apa-apa hak ke atas harta isterinya. Harta isteri adalah hartanya sendiri yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun, tetapi isteri berhak kepada nafkah daripada suaminya, dan hak dan kewajipan yang berbeza mengenai harta dan nafkah ada kaitannya dengan pembahagian pusaka yang memberi bahagian yang lebih kepada lelaki daripada perempuan.
Sekiranya pihak yang menggubal undang-undang keluarga Islam hendak mentafsir semula hukum Islam atas alasan menggunakan pendakatan kesamarataan gender (jantina) dan peralihan zaman, maka ia perlulah membuat pentafsiran semula itu secara menyeluruh dengan memastikan keseimbangan semula hak perempuan dan lelaki kedua-duanya. Dengan kata lain, amatlah zalim dan tidak adil jika alasan kesamarataan gender digunakan untuk memperluaskan hak lelaki supaya kaum lelaki juga boleh menikmati hak dan keistmewaan yang pada tradisionalnya hanya boleh dinikmati oleh kaum perempuan, tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan hak dan keistimewaan tradisional kaum lelaki. Keadaan begini akan betul-betul memburukkan lagi dan menambah lagi penindasan ke atas kaum wanita.




Sekiranya pihak berkuasa sebenarnya hendak mengadakan kesamarataan gender, maka peruntukan-peruntukan yang mengekalkan hak tradisional kaum lelaki perlulah dikaji semula untuk dibuat pindaan sewajarnya. Ia termasuklah peruntukan mengenai soal nusyuz dalam perkahwinan, poligami, proses perceraian talaq, hak penjagaan anak, dan pembahagian harta pusaka.




e. Penalti




(i). Penalti lebih berat yang telah kami cadangkan bagi kesalahan poligami tanpa kebenaran Mahkamah dan lafaz talaq di luar Mahkamah tidak dimasukkan dalam draf RUU. Sebaliknya pula, pindaan telah dibuat dalam seksyen 128 RUU bagi penalti “Menganiayai isteri atau suami”. Dalam peruntukan sedia ada dalam Akta 1984, peruntukan penalti sedemikian terpakai bagi menganiayai isteri sahaja.
Terdapat juga subseksyen baru



(2) dalam seksyen 128 mengenai bayaran pampasan bagi harta isteri atau suami yang telah ditipu. Adalah ditegaskan bahawa mengikut hukum Islam tradisional, terdapat keadaan di mana isteri boleh mengambil daripada harta suami tanpa pengetahuan suami, iaitu sekiranya suami gagal memberi nafkah yang mencukupi, seperti dalam Hadith Rasulullah (saw) mengenai Hendon dan suaminya Abu Suffian.

Sekali lagi, persoalan ini timbul – mengapakah kesamarataan gender digunakan bagi memperluaskan hak, kepentingan dan perlindungan bagi pihak suami tetapi tidak untuk memperluaskan hak, kepentingan dan perlindungan bagi pihak isteri? Dengan itu, kesannya ialah menambah lagi beban dan penindasan ke atas pihak isteri kerana hak-hak tradisional pihak isteri dikurangkan tanpa diimbangkan dengan hak-hak baru, tetapi bagi pihak suami pula, keadaan sebaliknya berlaku kerana hak-hak tradisionalnya masih dikekalkan dan ditambah pula dengan hak-hak baru.



(ii). Seksyen 131 draf RUU pula telah menaikkan penalti bagi kesalahan “Menjadi murtad dengan perdayaan untuk membatalkan perkahwinan.” Peruntukan ini merupakan satu lagi penindasan ke atas pihak isteri. Walaupun bahasa yang digunakan ialah “suami atau isteri”, kesannya mendiskriminasi terhadap kaum wanita kerana orang lelaki yang tidak sukakan isterinya tidak perlu berpura-pura menjadi murtad untuk membatalkan perkahwinannya; dia hanya perlu lafaz talaq dan talaq boleh disahkan walaupun dilafaz di luar mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah.





Persoalan yang patut ditanya ialah – mengapakah proses perceraian begitu rumit bagi pihak isteri hingga ada isteri yang sanggup cuba menjadikan dirinya murtad untuk membatalkan perkahwinannya? Dan mengapakah, apabila kesan peruntukan penaltinya adalah terhadap pihak isteri, penalti itu ditambah untuk menjadikannya lebih berat dalam draf RUU ini, sedangkan cadangan-cadangan kami bagi menambahkan penalti ke atas pihak suami yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati Mahkamah, yang berpoligami dan melafaz talaq tanpa kebenaran Mahkamah, langsung tidak diambilkira?





6. Pada amnya, kami amat kecewa dan dukacita dengan draf RUU, kerana cadangan-cadangan kami untuk mengimbangkan hak dan memberi perlindungan dalam keluarga berlandaskan prinsip-prinsip murni ajaran suci agama Islam, yang menegaskan kesaksamaan dan keseimbangan antara kedudukan, hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita nampaknya disingkirkan dan tidak dipedulikan. Sebaliknya pula, konsep kesamarataan gender dalam undang-undang moden disalahgunakan dalam draf RUU ini untuk menambahkan lagi hak kaum lelaki dan menambahkan lagi beban kaum wanita. Pendekatan tersebut seolah-olah mempersendakan perjuangan kaum wanita untuk keadilan dan kesaksamaan, kerana:



  • Bagi kaum lelaki, hak tradisional dikekalkan serta ditambah lagi hak baru, dan kewajipan tradisional dikurangkan.

  • Sebaliknya pula bagi kaum wanita, hak tradisonal dikurangkan dan kewajipan tradisonal dikekalkan serta ditambah lagi kewajipan baru.

Bukankah ini kezaliman yang melampau ke atas kaum wanita?



7. Kami juga banyak menerima aduan menenai sikap prasangka terhadap wanita dalam soal guaman hal ehwal suami isteri. Mengikut aduan-aduan yang kami terima, sekiranya sesuatu hak diperuntukkan dalam undang-undang bagi lelaki, adalah begitu mudah untuk pihak suami memperolehi hak itu. Sebaliknya pula, walaupun sekiranya sesuatu hak diperuntukkan bagi wanita, adalah begitu rumit untuk pihak isteri memperolehi hak itu, dan bukti-bukti yang berat sering dikehendaki daripadnya. Oleh itu, amatlah dikhuatiri sekiranya hak lelaki ditambah, dan hak wanita dikurangkan, pihak isteri akan mengalami kesan penindasan dan kezaliman yang begitu teruk sekali.





8. Sekiranya pendekatan yang hendak diambil adalah dengan ikhlas atas prinsip kesamarataan gender, maka ia perlulah memperseimbangkan hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita supaya pelepasan sesuatu hak dan kewajipan tradisional sesuatu pihak disertai dengan imbangan hak dan kewajipan yang sewajarnya. Misalnya:




a. Nusyuz





Dalam perkahwinan, nusyuz sepatutnya dilihat, bukan dari sudut keingkaran isteri terhadap perintah suami, tetapi sebagai kerosakan keharmonian rumahtangga oleh sama ada suami atau isteri. Konsep nusyuz yang terpakai bagi kedua-dua suami isteri tidak bertentangan dengan prinsip Islam kerana Kitab Suci al-Qur’an itu sendiri menggunakan istilah nusyuz bagi isteri (Surah an-Nisa’ 4 : 34) dan suami (Surah an-Nisa’ 4 : 128) kedua-duanya.


b. Poligami




Perkahwinan poligami tidak dibenarkan dengan membuat tafsiran bahawa adalah mustahil bagi lelaki zaman sekarang untuk berlaku adil kepada lebih daripada seorang isteri. Poligami adalah sesuatu yang wujud dalam masyarakat belum Islam dan al-Qur’an telah menyekatnya, mula-mula dengan menghadkan jumlah maksimum isteri kepada empat orang, berikutnya dengan memerintahkan layanan yang adil, dan berikutnya dengan menyatakan adalah mustahil untuk melakukan keadilan. Kalaupun poligami boleh dibenarkan dalam keadaan luarbiasa, syarat utamanya perlulah dengan persetujuan yang sebenarnya diberi dengan rela hati oleh isteri sedia ada, di samping syarat kemampuan kewangan, kerana jenis poligami yang disebut dalam al-Qur’an adalah demi kebajikan dan kepentingan kaum wanita dan kanak-kanak, dan bukannya bagi memberi kesempatan kepada kaum lelaki.



c. Talaq




(i) Lafaz talaq suami tanpa kebenaran Mahkamah sepatutnya tidak diiktiraf. Konsep ini tidak berlawanan dengan ayat al-Qur’an yang memperuntukkan prosedur hakam (Surah an-Nisa’ 4 : 35) dan tidak menggalakkan perceraian sewenang-wenangnya; atau


(ii) Secara altrenatifnya, sekiranya hak talaq suami dengan sendirinya masih diiktiraf, maka hak ini perlu dilanjutkan kepada pihak isteri juga, dan ini boleh diadakan melalui penerimapakaian hukum tradisional mazhab Hanbali yang membenarkan hak ini diberikan melalui isma’ kepada pihak isteri dalam perjanjian perkahwinan.



Sekiranya proses perceraian talaq diseimbangkan untuk memberi hak samarata kepada pihak isteri, barulah pihak suami patut dan wajar diberi hak sama rata dalam perceraian fasakh.



d. Penjagaan anak




Berkenaan dengan ibu bapa dan anak, perlulah diiktiraf hak penjagaan bersama ibubapa terhadap anak mereka, dan bukannya memperuntukkan bapa sahaja sebagai penjaga yang sah. Lagipun ajaran Islam memang memuliakan kedudukan para ibu.
e. Harta Pusaka



Pembahagian harta pusaka perlu dikaji semula. Konsep faraid patutnya dilihat sebagai salah satu konsep pembahagian harta, tetapi terdapat juga konsep lain bagi memastikan keadilan dalam pembahagian harta. Bahagian yang lebih kepada waris lelaki adalah berkaitan dengan kewajipan lelaki untuk menanggung wanita. Dalam keadaan lelaki yang tidak lagi melaksanakan tanggungjawab tersebut, suatu kaedah bagi keseimbangan perlu diperuntukkan. Suatu caranya ialah dengan menerimapakaian pendapat yang mengiktiraf bahawa wasiat boleh dibuat untuk mengubahsuai bahagian waris, selagi tujuannya ialah untuk menjamin keadilan mengikut hal keadaan dalam keluarga itu, dan bukannya untuk menganiayai mana-mana pihak yang terlibat.



9. Sekiranya syor-syor di atas mengenai kesaksamaan dan keseimbangan hak lelaki dan perempuan diterima, maka barulah boleh diperuntukkan kesamarataan hak suami dan isteri ke atas harta masing-masing. Konsep kesamarataan gender sama sekali tidak patut disalahgunakan untuk menzalimi dan menambahkan lagi beban kaum wanita dengan mengurangkan hak tradisional wanita dan memberi pula hak baru kepada lelaki.



10. Ingin kami menyatakan bahawa draf RUU sangatlah perlu dikaji semula, dengan diadakan rundingan bersama kumpulan-kumpulan wanita. Adalah juga dicadangkan supaya wakil-wakil kumpulan wanita dilantik kepada Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang yang mengkaji penggubalan undang-undang syariah. Kami amatlah berharap ulasan dan syor kami sebagaimana yang dinyatakan dalam Memorandum Perbandingan Rang Undang-Undang Keluarga Islam dengan Akta Undang-Undang Keluarga Islam akan diambilkira dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.




Sekian dimaklumkan dengan hormatnya, dan atas perhatian dan pertimbangan pihak Y.B. Datuk Seri, kami mengucapkan ribuan terima kasih.



Yang ikhlas,


(NIK NORIANI BT NIK BADLI SHAH)
Pengurus Penyelidikan

s.k.:

Pegawai Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri


(Y.B. Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim)


Jabatan Perdana Menteri


Blok Barat, Aras 3


Bangunan Perdana Putra


Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan



62502 Putrajaya.


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap