Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Memo: KESAKSAMAAN DALAM ISLAM
email to someone printer friendly

Pindaan kepada Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan jantina (gender). Kami percaya bahawa tiada apa-apa jua dalam peruntukan ini yang bercanggah dengan Islam, suatu agama yang menegaskan prinsip kesaksamaan dan keadilan untuk semua.
Ajaran agama tidak patut disalahgunakan bagi mendiskriminasi wanita Islam, dan menafikan perluasan hak yang kini dibenarkan bagi wanita bukan-Islam. Sungguh tidak munasabah sekiranya wanita Islam menduduki taraf yang lebih rendah di sisi undang-undang bukan sahaja berbanding dengan lelaki Islam tetapi juga berbanding dengan wanita bukan Islam, dan, tidak dibenarkan melaksanakan beberapa hak yang boleh dilaksanakan oleh kesemua warganegara lain.
Konsep kesamarataan gender tidak patut disalahgunakan untuk menambahkan hak kaum lelaki dan beban kaum wanita. Penyalahgunaan akan berlaku sekiranya:
  • Hak tradisional lelaki dikekalkan serta ditambah hak baru, dan kewajipan tradisional dikurangkan.




  • Hak tradisional wanita dikurangkan dan kewajipan tradisional dikekalkan serta ditambah lagi kewajipan baru.




RANG UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM



Kesan pindaan memburukkan kedudukan wanita, contohnya:
a. Syarat untuk poligami – seksyen 23



Perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah “patut dan perlu”.



Pindaan -- kepada “patut atau perlu” -- hendak menolak dan mengetepikan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah v. Wan Mohd Yusof (1990) 7 JH 152. yang menekankan bahawa kesemua syarat di bawah subseksyen ini adalah sama penting dan hendaklah dibuktikan berasingan. Jawatankuasa itu menegaskan bahawa sebagai suami Islam, dia patut boleh mengawal nafsunya dan mengelakkan diri dari melakukan zina dan perkara maksiat.



b. Pembahagian harta sepencarian sebelum perkahwinan poligami.



Cadangan kami bagi pembahagian harta adalah  untuk memastikan kepentingan dan kebajikan kewangan isteri sedia ada terjamin dengan adilnya. Ini berlandaskan hukum Islam bahawa perkahwinan poligami yang membawa mudarat dan ketidakadilan kepada pihak isteri tidak dibenarkan oleh ayat suci al-Qur’an yang menekankan dan memelihara keadilan bagi wanita dan kanak-kanak (Surah an-Nisa’ 4 : 3 dan 4 : 129).



Pindaan yang dibuat -- boleh disalahgunakan oleh pihak suami yang tidak bertanggungjawab  kerana ia menyatakan “mana-mana pihak kepada perkahwinan itu” boleh membuat permohonan supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan mereka dibahagi antara mereka.



Implikasi -- suami yang tidak bertanggungjawab boleh menuntut harta isteri sedia ada atau atau memohon supaya rumah perkahwinan mereka dijual untuk mendapat wang bagi menyara isteri barunya.



c. Perceraian fasakh – seksyen 52




Pindaan -- melanjutkan hak untuk menuntut fasakh pada amnya kepada pihak suami --  menambahkan hak suami tanpa menambahkan hak atau perlindungan untuk isteri.



Terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama mazhab Sunni tentang sama ada hak fasakh diberi kepada suami --   mazhab Hanafi hanya memberi hak fasakh kepada pihak isteri. Mazhab lain yang memberi fasakh kepada kedua-dua pihak apabila alasannya ialah penyakit berjangkit atau penyakit yang menghalang persetubuhan. Pindaan ini memperluaskan alasan fasakh bagi suami. Mungkin faedah bagi pihak suami menuntut fasakh ialah supaya dia tidak perlu membayar nafkah iddah dan mut’ah kepada bekas isterinya.



Mengapa apabila terdapat percanggahan pendapat ulama, terdapat kecenderungan menerima pendapat yang lebih memberi faedah kepada suami serta juga memperluaskan lagi faedah itu? Sebaliknya, apabila terdapat percanggahan pendapat ulama mengenai kaedah lain yang memberi faedah kepada isteri (contohnya yang memperluaskan hak ta’liq atau perceraian tafwid bagi  isteri), pendapat yang memberi faedah kepada isteri  diketepikan dan tidak diterima.



d. Kuasa Mahkamah membatalkan dan menahan perpindahan harta.




Peruntukan sedia ada membolehkan Mahkamah membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak suami yang bertujuan untuk mengurangkan kemampuannya membayar nafkah atau mut’ah atau untuk menghalang isterinya daripada harta itu.



Pindaan -- Mahkamah boleh juga membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak isteri. Adakah ini dibuat atas alasan kesamarataan gender? Mengikut undang-undang Islam tradisional, suami tidak berhak menuntut nafkah daripada isterinya, dan tidak mempunyai apa-apa hak ke atas harta isterinya. Harta isteri adalah hartanya sendiri yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun, tetapi isteri berhak kepada nafkah daripada suaminya, dan hak dan kewajipan yang berbeza mengenai harta dan nafkah ada kaitannya dengan pembahagian pusaka yang memberi bahagian yang lebih kepada lelaki daripada perempuan.




Sekiranya ulama masakini hendak mentafsir semula hukum Islam atas alasan kesamarataan gender (jantina) dan peralihan zaman -- perlulah membuat pentafsiran semula secara menyeluruh dengan memastikan keseimbangan semula hak perempuan dan lelaki -- amat zalim dan tidak adil jika alasan kesamarataan gender digunakan untuk memperluaskan hak lelaki supaya lelaki juga menikmati hak dan keistimewaan yang pada tradisinya hanya  dinikmati oleh wanita, tetapi pada masa yang sama  mengekalkan hak dan keistimewaan tradisional lelaki -- ini akan memburukkan lagi dan menambah lagi penindasan ke atas wanita.



Sekiranya hendak mengadakan kesamarataan gender -- peruntukan yang mengekalkan hak tradisional lelaki perlu dikaji semula untuk dibuat pindaan sewajarnya, contohnya soal nusyuz, poligami, proses perceraian talaq, penjagaan anak, dan pembahagian harta pusaka.



e. Penalti




Cadangan kami -- Penalti lebih berat bagi kesalahan poligami tanpa kebenaran Mahkamah dan lafaz talaq di luar Mahkamah.




Pindaan:




i. mengadakan penalti “Menganiayai isteri atau suami”.




ii. mengadakan bayaran pampasan bagi harta isteri atau suami yang telah ditipu.




Adalah ditegaskan bahawa mengikut hukum Islam tradisional, terdapat keadaan di mana isteri boleh mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami, iaitu sekiranya suami gagal memberi nafkah yang mencukupi, seperti dalam Hadith Rasulullah (saw) mengenai Hendon dan suaminya Abu Suffian.




iii. Seksyen 130 -- kesalahan “Menjadi murtad untuk membatalkan perkahwinan” – penalti dinaikkan. Walaupun bahasa yang digunakan ialah “suami atau isteri”, kesannya mendiskriminasi terhadap wanita kerana lelaki yang tidak sukakan isterinya tidak perlu berpura-pura menjadi murtad untuk membatalkan perkahwinannya; dia hanya perlu melafazkan talaq dan talaq boleh disahkan walaupun dilafaz di luar mahkamah.




Persoalan – mengapakah proses perceraian begitu rumit bagi isteri hingga ada isteri yang sanggup murtad hanya untuk membatalkan perkahwinan? Dan mengapakah, apabila kesan penalti adalah terhadap isteri, penalti itu dijadikan lebih berat sedangkan cadangan kami bagi menambahkan penalti ke atas suami yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati Mahkamah, yang berpoligami dan melafaz talaq tanpa kebenaran Mahkamah, tidak diambilkira?




Kami juga banyak menerima aduan mengenai sikap prasangka terhadap wanita dalam soal guaman hal ehwal suami isteri. Mengikut aduan-aduan yang kami terima, sekiranya sesuatu hak diperuntukkan dalam undang-undang bagi lelaki, adalah begitu mudah untuk pihak suami memperolehi hak itu. Sebaliknya pula, walaupun sesuatu hak diperuntukkan bagi wanita, adalah begitu rumit untuk pihak isteri memperolehi hak itu, dan bukti-bukti yang berat sering dikehendaki daripadanya. Oleh itu, amatlah dikhuatiri sekiranya hak lelaki ditambah, dan hak wanita dikurangkan, pihak isteri akan mengalami kesan penindasan dan kezaliman yang begitu teruk sekali.




Pendekatan imbangan hak dan kewajipan



Cadangan kami ialah untuk mengimbangkan hak dan memberi perlindungan dalam keluarga berlandaskan prinsip-prinsip murni ajaran suci agama Islam, yang menegaskan kesaksamaan dan keseimbangan antara kedudukan, hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita.
Sekiranya pendekatan pentafsiran semula ulama masakini adalah dengan ikhlas atas prinsip kesamarataan gender, maka perlulah diperseimbangkan hak dan kewajipan lelaki dan wanita supaya pelepasan sesuatu hak dan kewajipan tradisional sesuatu pihak disertai dengan imbangan hak dan kewajipan yang sewajarnya. Contohnya:




a. Nusyuz




Nusyuz sepatutnya dilihat, bukan hanya dari sudut keingkaran isteri terhadap suami, tetapi sebagai kerosakan keharmonian rumahtangga oleh sama ada suami atau isteri. Konsep nusyuz yang terpakai bagi kedua-dua suami isteri tidak bertentangan dengan prinsip Islam kerana al-Qur’an menggunakan istilah nusyuz bagi kedua-dua isteri (Surah an-Nisa’ 4 : 34) dan suami (Surah an-Nisa’ 4 : 128).




b. Poligami




Perkahwinan poligami tidak dibenarkan melalui tafsiran kerana adalah mustahil bagi lelaki zaman sekarang untuk berlaku adil kepada lebih dari seorang isteri (tafsiran ini dipakai di Tunisia). Poligami telah wujud dalam masyarakat sebelum Islam dan al-Qur’an telah menyekatnya, pertama dengan menghadkan jumlah maksimum isteri kepada empat orang, kedua dengan memerintahkan layanan yang adil, dan berikutnya dengan menyatakan adalah mustahil untuk melakukan keadilan.




Walaupun poligami boleh dibenarkan dalam keadaan luarbiasa, syarat utamanya ialah persetujuan yang diberi dengan rela hati oleh isteri sedia ada, kerana jenis poligami yang disebut dalam al-Qur’an adalah demi kebajikan, dan, kepentingan wanita dan kanak-kanak, dan bukannya bagi memberi kesempatan kepada lelaki.




c. Talaq




(i) Lafaz talaq tanpa kebenaran Mahkamah sepatutnya tidak diiktiraf. Konsep ini tidak berlawanan dengan ayat al-Qur’an yang memperuntukkan prosedur hakam (Surah an-Nisa’ 4 : 35) dan tidak menggalakkan perceraian sewenang-wenangnya; atau




(ii) Secara alternatif, sekiranya hak talaq suami tanpa kebenaran masih diiktiraf, maka hak ini perlu dilanjutkan kepada isteri juga -- ini boleh dilakukan melalui penerimapakaian hukum tradisional mazhab Hanbali yang membenarkan hak ini diberikan melalui isma’ kepada  isteri dalam perjanjian perkahwinan.




Sekiranya proses talaq diseimbangkan untuk memberi hak samarata kepada isteri, barulah suami patut dan wajar diberi hak sama rata dalam fasakh.




d. Penjagaan anak



Hak penjagaan bersama ibubapa terhadap anak mereka perlu diiktiraf, dan tidak memperuntukkan bapa sahaja sebagai penjaga yang sah. Islam memuliakan kedudukan para ibu.



e. Harta Pusaka



Pembahagian harta pusaka menurut konsep faraid perlu dikaji semula. Ini tidak bermakna menolak konsep faraid. Terdapat konsep lain bagi memastikan keadilan dalam pembahagian harta. Pemberian yang lebih kepada waris lelaki adalah berkaitan dengan kewajipan lelaki untuk menanggung wanita. Dalam keadaan lelaki yang tidak  melaksanakan tanggungjawab tersebut, suatu kaedah bagi keseimbangan perlu diperuntukkan.




Suatu cara ialah dengan menerimapakai pendapat ulama yang mengiktiraf bahawa wasiat boleh dibuat untuk mengubahsuai bahagian waris, selagi tujuannya ialah untuk menjamin keadilan mengikut hal keadaan keluarga itu, dan bukan untuk menganiayai mana-mana pihak yang terlibat. Perlu juga diingat bahawa ayat-ayat al-Qur’an mengenai harta pusaka diturunkan untuk memberi faedah kepada wanita – pada zaman sebelum itu, harta pusaka diwarisi oleh lelaki sahaja.



Sekiranya syor-syor di atas mengenai kesaksamaan dan keseimbangan hak lelaki dan wanita diterima, maka barulah boleh diperuntukkan kesamarataan hak suami isteri ke atas harta masing-masing. Konsep kesamarataan gender sama sekali tidak patut disalahgunakan untuk menzalimi dan menambahkan lagi beban wanita dengan mengurangkan hak tradisional wanita dan memberi pula hak baru kepada lelaki.



Disediakan oleh Sisters In Islam

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap