News Item: : Salah Satu Kajian Kes yang Menunjukkan Ketidakadilan dan Masalah yang Dihadapi Oleh Kaum Wanita di Bawah Sistem Faraidh
(Category: Press Statements > Muslim Family Law)
Posted by
Monday 02 July 2012

Kes Di Mana Si Suami telah Meninggalkan Isteri Dan Anak-Anak Perempuan

Di dalam kes ini, di bawah hukum faraidh, keluarga si suami mempunyai hak ke atas harta pusaka arwah suami. Keluarga si suami (yang terdiri dari ibu, lima adik beradik lelaki dan dua adik beradik perempuan), terutama adik-beradik lelaki, asyik mengganggu isteri supaya mendapatkan Surat Mentadbir Harta Pusaka dari Mahkamah agar mereka boleh mendapat bahagian mereka. Alasan utama yang sering digunakan oleh keluarga suami adalah “….ini adalah hak kami dalam Islam….” Malang sekali bagi si isteri dan anak-anak perempuannya (yang berusia lima belas, sembilan dan tujuh tahun), tiada siapa yang bertanya khabar, menghulurkan bantuan ataupun mahu mengambil berat keadaan mereka. Keluarga suami terlalu ghairah untuk merebut harta arwah, terutama sekali rumah yang didiami oleh isteri dan anak-anak si mati memandangkan rumah tersebut mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Kalau boleh mereka mahu menjual rumah itu dan mendapat habuan masing-masing.


Dalam keasyikan keluarga suami merebut harta pusaka, mereka lupa mengenai liabiliti harta pusaka si mati, iaitu pinjaman perumahan yang masih ada dan kena dibayar kepada pihak bank setiap bulan (memandangkan suami tidak mengambil insuran perlindungan nyawa ke atas pinjaman perumahan tersebut). Dalam Qur’an Surah An-Nisa’ 4:11, adalah jelas menyatakan bahawa waris-waris hanya boleh mewarisi harta pusaka si mati setelah segala wasiat dan hutang telah dibayar. Apabila isu mengenai liabiliti harta pusaka dibangkitkan, dan cadangan agar wang simpanan dan KWSP si mati digunakan untuk membayar pinjaman perumahan dahulu, ianya ditentang dengan hebat oleh keluarga si mati dan menuduh pula isteri si mati hendak menipu mereka dari hak mereka. Mereka berkeras menuntut bahagian mereka dalam wang simpanan dan KWSP si mati apabila Surat Mentadbir Harta Pusaka dikeluarkan kelak.



Masalah juga timbul apabila isteri si mati melantik peguam untuk mengendalikan Surat Mentadbir Harta Pusaka si mati dan Perintah Pembahagian (berdasarkan sijil faraidh yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dari negeri yang berkenaan). Keluarga suami tidak mahu isteri menjadi pentadbir dan akhirnya petisyen untuk Memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka lewat difailkan di Mahkamah. Keluarga suaminya juga melantik peguam yang lain atas alasan untuk menjaga kepentingan mereka. Mereka lupa tanggungjawab mereka untuk menjaga keluarga si mati, dan tidak mengambil kira pembayaran pinjaman perumahan yang dibuat oleh isteri si mati setiap bulan kepada pihak bank.



Apabila persoalan ini dibangkitkan kepada keluarga suami, mereka menjawab rumah tersebut patut dijual bagi melangsaikan hutang si mati. Keluarga suami terlupa untuk mengambilkira bahawa walaupun rumah tersebut dapat dijual, hampir 90% wang jualan digunakan untuk membayar pihak bank.



Isteri dan anak-anak terpaksa menempuhi pelbagai masalah dari keluarga suami dan setelah beberapa tahun barulah segala urusan harta pusaka si mati selesai. Isteri dan anak-anak si mati hilang tempat tinggal mereka dan terpaksa menyewa rumah yang lain. Akhirnya, isteri dan anak-anak si mati hanya mewarisi sedikit sahaja dari pembahagian wang simpanan, wang EPF dan baki wang penjualan rumah si mati memandangkan keluarga suami adalah besar.



Kes seperti ini bukanlah satu kes yang tersendiri (isolated case) tetapi pada hakikatnya berlaku dalam kebanyakan keluarga masyarakat Islam di Malaysia. Banyak ketidakadilan berlaku atas nama Islam. SIS ingin menyatakan beberapa masalah yang sama yang selalu dihadapi oleh isteri-isteri dalam cuba menyelesaikan harta pusaka si mati:-



· Waris-waris kurang faham tanggungjawab mereka dari segi Islam mengenai harta pusaka. Kebanyakan waris-waris lelaki beranggapan bahawa mendapat bahagian yang lebih adalah satu hak mutlak tanpa apa-apa tanggungjawab;



· Waris-waris, terutama keluarga suami hanya memikirkan harta pusaka si mati tanpa mengambil kira segala bebanan yang sedia ada, mahupun kedudukan kewangan/bebanan isteri dan anak-anak si mati;



· Banyak kes-kes harta pusaka tidak diselesaikan sehingga hari ini walaupun si mati telah lama meninggal dunia kerana waris-waris tidak mahu menandatangani dokumen-dokumen yang berkenaan untuk difailkan bersama petisyen Memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka, tidak mempercayai isteri si mati, tidak setuju melantik isteri sebagai pentadbir, tidak memahami prosedur memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka mengakibatkan isteri dan anak-anak si mati menderita.



Berdasarkan kepada di atas, SIS mencadangkan agar ditubuh suatu jawatankuasa untuk menolong waris-waris menguruskan harta pusaka, di mana satu mediasi diadakan di antara kesemua waris, dan tugas utama jawatankuasa ini adalah untuk menasihati kesemua waris mengenai perkara-perkara di bawah untuk mengelakkan pembaziran masa dan pertelingkahan di antara keluarga:-



· Prosedur memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka, di mana kesemua waris dikehendaki menandatangani penolakan (menolak hak mereka menjadi pentadbir dalam harta pusaka si mati, dan bersetuju dengan perlantikan pentadbir yang dicadangkan), menandatangani perlantikan isteri sebagai “Trustee” sekiranya anak-anak masih kecil, menandatangani Affidavit Persetujuan mengenai pembahagian harta melalui hukum faraidh atau permufakatan, jangkamasa untuk memperolehi Surat Mentadbir harta Pusaka, kos peguam atau kos permohonan di Pejabat Tanah;



· Menerangkan kesemua aset dan liabiliti dalam harta pusaka si mati, dan di mana kesemua liabiliti mestilah dibayar dahulu dari aset-aset si mati;



· Menerangkan tanggungjawab keluarga suami untuk menjaga dan menyediakan rumah bagi isteri dan anak-anak si suami yang merupakan lebih penting dari pembahagian harta pusaka;



· Mengeluarkan perintah kepada waris-waris yang enggan bekerjasama dengan waris-waris dalam segala hal berhubung dengan harta pusaka si mati.



Salah satu masalah yang ketara yang juga dihadapi oleh isteri dan anak-anak ialah ketiadaan wang membawa kes ini ke Mahkamah sekiranya ada waris-waris yang enggan untuk bekerjasama. Di dalam kes yang dikendalikan oleh Pejabat Tanah pula, walaupun kos adalah rendah, tetapi ianya memakan masa yang lama apabila ada waris yang tidak bekerjasama memandangkan Pejabat Tanah tidak bersikap tegas terhadap mereka. Oleh yang demikian, jawatankuasa ini mestilah mempunyai kuasa untuk memerintah mana-mana waris yang enggan bekerjasama untuk membuat apa yang harus dibuat bagi menyelesaikan harta pusaka si mati.



Sistem faraidh patut dikaji semula dar segi perlaksanaannya memandangkan keadaan masyarakat yang kini sudah jauh berbeza dari keadaan masyarakat semasa ayat ini diturunkan oleh Allah swt. Konsep di mana satu keluarga yang terdiri daripada beberapa generasi tinggal di bawah satu bumbung (extended family) dan menjaga di antara satu sama lain sudah lama tidak diamalkan lagi dalam masyarakat Malaysia. Sekarang kebanyakan keluarga merupakan “keluarga nukleus” iaitu terdiri daripada ibubapa dan anak-anak sahaja. Faktor-faktor seperti siapa yang menjaga ibubapa mereka yang tua dari segi bantuan kewangan, keperluan dan jagaan perubatan, sokongan emosi dll., adik beradik lelaki yang tidak bertanggungjawab atau salah seorang waris adalah penagih dadah perlu diambilkira dalam membahagikan harta pusaka agar lebih sesuai dan adil.




Back to Penama EPF & PERKESO dan Polisi Insuran Copyright© 2000-2004 SIS Forum Malaysia. All rights reserved.
No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor Malaysia.



This news item is from Sisters In Islam
( http://sistersinislam.org.my/news.php?extend.1054 )